Empat maut dalam satu insiden rakit pelampung terbalik di sebuah taman tema di Gold Coast, Australia, pada Selasa.

Taman tema Dreamworld, yang mempunyai lebih 40 permainan dan tarikan, mengeluarkan kenyataan mengesahkan tiga orang terbunuh, namun kenyataan daripada polis Queensland menyebut empat orang.

The Gold Coast Bulletin melaporkan mangsa sedang menaiki Thunder Rapids, yang menggunakan tali pengangkut dan enam orang berada dalam rakit bulat itu.

“Dreamworld sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Segala maklumat terbaharu berhubung kejadian itu akan disampaikan kepada keluarga mangsa secepat mungkin,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan taman tema tersebut.

Datuk bandar Gold Coast, Tom Tate, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang menyedihkan.

“Ingatan kami bersama keluarga mangsa dan semua petugas terlibat. Hari yang menyedihkan buat kita semua,” katanya dalam status di Facebook.