Berita  | Dunia

Empat terbunuh dalam tiga insiden letupan di Nepal

Empat terbunuh dalam tiga insiden letupan di Nepal
Polis berkata serangan dipercayai didalangi oleh kumpulan serpihan Maois. - REUTERS/Navesh Chitraka
KATHMANDU: Empat terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam tiga letupan berasingan di Kathmandu, Nepal pada Ahad.

Memetik laporan Reuters, polis berkata serangan dipercayai didalangi oleh kumpulan serpihan Maois.

"Tiga orang maut di tempat kejadian dan yang keempat meninggal semasa menjalani rawatan di hospital," kata pegawai polis Shyam Lal Gyawali, sambil menambah kejadian tersebut masih disiasat.
Seorang terbunuh dalam letupan di sebuah rumah di kawasan kediaman Ghattekulo di tengah-tengah bandar.

Letupan kedua berlaku berhampiran sebuah salon di kawasan Sukedhara di pinggir bandar, di mana tiga lagi terbunuh.

Manakala, letupan ketiga pula berlaku berhampiran sebuah tembok bata di kawasan Thankot di Kathmandu, mencederakan dua individu, kata polis.

Kesemua tujuh mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan.

Menurut Gyawali, kumpulan itu mungkin melakukan serangan kerana membantah tindakan pihak polis menahan penyokongnya.

"Risalah dari kumpulan itu telah ditemui di tapak letupan pertama," kata Gyawali.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap insiden letupan ini.



Tag: letupan di Nepal, Kathmandu, dua letupan, Shyam Lal Gyawali, Ghattekulo, Sukedhara, Thankot, kumpulan serpihan Maois


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.