Tiga anggota polis cedera apabila sebutir bom meletup di daerah Krong Pinang dekat sini pada pagi Jumaat.

Anggota keselamatan itu dilapor sedang memberi perlindungan kepada guru dan tiga penduduk tempatan ketika kejadian.

"Letupan bom di kampung Ban Basaweng di Tambon Krong Pinang dilaporkan kira-kira 8.25 pagi," kata Timbalan Ketua Penyiasatan Balai polis Krong Pinang, Kapten Pongsak Khaonuan, seperti dilaporkan portal Bangkok Post.

Tiga orang awam dilaporkan turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital berhampiran.

Polis dan tentera telah dikerah untuk mengawasi tempat kejadian.

Pihak berkuasa menyatakan letupan itu berkemungkinan satu serangan pemberontak.