Seorang lelaki British diselamatkan pihak berkuasa di pulau peranginan Bali, Indonesia selepas enam hari terperangkap dalam sebuah perigi.

Menurut pihak polis, pasukan penyelamat berjaya menarik mangsa, Jacob Matthew Roberts, 29 tahun, dari perigi sedalam empat meter selepas menerima laporan daripada seorang petani di perkampungan Pecatu.

Ketua pasukan pencari dan penyelamat, memaklumkan, jeritan Jacob meminta tolong didengari seorang penduduk tempatan yang sedang membawa lembunya meragut.

Mangsa mengalami patah kaki apabila terjatuh ke dalam perigi yang hampir kering itu.

Dalam kenyataan kepada pihak berkuasa, mangsa mendakwa beliau terjatuh dalam perigi ketika cuba melarikan diri daripada seekor anjing yang mengejarnya.

Selepas misi menyelamat Sabtu lalu itu, Roberts dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.