Seorang lelaki ditahan manakala seorang lagi kini dicari pihak polis selepas insiden samun seorang wanita dirakam sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di Houston, Texas di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Rakaman tersebut menunjukkan wanita itu, dipercayai seorang pemilik stesen minyak, memberhentikan keretanya di stesen minyaknya di Lewisville, selepas mengeluarkan wang sebanyak AS$75,000 di sebuah bank berdekatan.

Sebaik wanita itu keluar dari keretanya, sebuah lagi kereta menghampirinya dan seorang lelaki keluar dari kereta tersebut lalu menerkam wanita itu.

Suspek cuba menarik beg tangan wanita itu namun mangsa enggan melepaskannya.


Seorang lagi lelaki dilihat keluar dari stesen minyak berkenaan untuk membantu mangsa, namun dia ditolak dan dipukul oleh suspek.

Ketika mereka bergelut, seorang lagi suspek datang dan cuba menolong rakannya merampas beg tangan wanita itu.

Wanita itu kemudian digilis oleh kereta yang membawa suspek tersebut.

Menurut polis, suspek berjaya melarikan diri dengan sebahagian daripada wang tersebut dalam insiden yang berlaku Jumaat lalu.

Mark Herman dari polis daerah Harris County berkata siasatan masih sedang dijalankan.