FACEBOOK mengakui gagal mengawal rangkaian media sosial itu daripada digunakan pihak luar dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang lalu.

Pengurus Produk Facebook Samidh Chakrabarti berkata pilihan raya AS pada 2016 telah menimbulkan persoalaan tentang peranan Facebook dalam menyebarkan maklumat palsu serta pemecahan masyarakat dalam suasana politik pada masa ini.

"Pada asalnya, Facebook dibina untuk menghubungkan antara rakan-rakan dan keluarga - dan ia telah berjaya melaksananya.

"Namun, kini ramai pengguna menggunakan platform ini untuk mengeluarkan pendapat politik.

"Ia digunakan dengan cara yang memberi kesan sosial yang langsung," kata Chakrabarti menerusi laman blognya.

Tambahnya, pada 2016, Facebook tidak menyedari terdapat individu serta pihak yang menyalahgunakan platform tersebut.

"Kami sedang berusaha untuk mengurangkan risiko itu," katanya.

Sebelum ini, Facebook telah membuat penyelidikan dan mengeluarkan laporan tentang bagaimana penggunaan media sosial itu secara pasif boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna tersebut.

Dalam pada itu, Facebook telah mengumumkan penukaran pada algoritma bagi mengurangkan kehadiran jenama dalam platform supaya dalam mengembalikan fokus kepada hubungan sesama manusia.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberk turut mengumumkan azam tahun baru untuk memperbaiki platform yang dibinanya.

Kini, Facebook sedang menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk mengenal pasti kandungan berita palsu dalam platformnya, dan dalam rancangan untuk meninjau di kalangan pengguna tentang sumber berita yang mereka percayai.

Menggunakan perkhidmatan ini, apa sahaja kandungan yang dikenal pasti sebagai bermasalah akan dihadkan penyebarannya, sekali gus mengurangkan jumlah tontonan di kalangan pengguna sehingga 80 peratus.