PIHAK berkuasa Amerika Syarikat membenarkan farmasi untuk dijadikan pusat menjalani ujian saringan kesihatan bagi mengesan COVID-19.

Ini termasuk ujian antibodi yang baru dibangunkan untuk mengesan sama ada pesakit telah pulih dari jangkitan COVID-19.

Memetik laporan AFP, Setiausaha Kementerian Kesihatan, Alex Azar mengumumkan bahawa semua ujian yang diluluskan oleh pihak berkenaan boleh dilakukan farmasi sebagai usaha mengekang penularan wabak ini di negara itu.

“Pihak pentadbiran Trump membenarkan ahli farmasi peluang untuk bersama-sama petugas perubatan lain untuk memerangi wabak itu,” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan ubat anti-malaria hydroxychloroquine bakal diguna sebagai ujian ke atas 3,000 pesakit di hospital di Detroit, Michigan dan keputusannya akan disemak untuk kajian rasmi.

White House bersedia untuk membekalkan doktor dan farmasi di kawasan Detroit dengan hydroxychloroquine.

BACA: AS uji ubat anti-malaria ke atas 3,000 pesakit

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata, kerajaan pusat sudah menyimpan sebanyak 29 juta dos hydroxychloroquine.

Minggu lalu, Trump berkata hydroxychloroquine diberikan kepada 1,000 pesakit di New York bersama dengan ubat Z-Pak atau azithromycin.


BACA: COVID-19: Lebih 330,000 pesakit berjaya sembuh