Sekurang-kurangnya 65 orang maut dalam masa tiga hari akibat gelombang haba luar biasa sekitar 44 darjah celsius melanda selatan Karachi di Pakistan bermula pada Isnin.

Organisasi kebajikan masyarakat di sana menjangkakan angka kematian akan terus meningkat susulan gelombang panas tidak menunjukkan sebarang tanda ia bakal berkurangan.

Sebelum itu, pihak berkuasa terpaksa menyediakan bekalan air di dalam tong sepanjang laluan utama untuk digunakan orang awam menstabilkan suhu badan.

Lebih meresahkan, orang Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan dilihat ternanti-nanti waktu berbuka puasa kerana cuaca panas luar biasa itu amat mencabar buat mereka.

Jabatan Kaji Cuaca Pakistan berkata, gelombang haba itu terjadi disebabkan kawasan tekanan rendah yang terbentuk di utara daerah Sindh.

Gelombang haba ini dijangka akan merekodkan suhu sekitar 40 darjah Celsius sehingga Khamis.