Mahkamah di Korea Selatan pada Khamis mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada keluarga mangsa feri Sewol yang karam pada 2014.

Ia juga kali pertama mahkamah mengakui bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian kesemua 304 penumpang itu.

Mahkamah menetapkan setiap keluarga dibayar ganti rugi berjumlah 200 juta won dan pampasan tambahan 40 juta won untuk setiap ahli keluarga.

Hasil siasatan mendapati struktur feri berkenaan tidak lengkap selain membawa lebih muatan.

Ia juga bergerak terlalu laju ketika membelok hingga menyebabkannya terbalik di pantai barat daya pada 16 April 2014.

Kru pula bertindak meninggalkan feri selepas mengarahkan penumpang kekal dalam kabin.