SAMBUTAN Festival Songkran tahun ini nampaknya akan berlangsung dalam suasana yang sedikit berbeza.

Festival tahunan yang menjadi tumpuan pelancong di Thailand itu akan dilangsungkan dengan beberapa pertambahan syarat daripada pihak penganjur, lapor portal berita Channel News Asia.

Syarat-syarat berkenaan sebagai satu penghormatan terhadap rakyat negara itu yang masih berkabung atas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej, Oktober tahun lalu.

Aktiviti 'perang air' menggunakan pelbagai peralatan seperti baldi, pancuran dan pistol air yang merupakan tarikan utama festival itu hanya akan berlangsung selama dua hari.

Maka, keseronokan dan kemeriahan yang sering menjadi ikutan penduduk setempat dan pelancong asing dijangkakan lebih terkawal dan sederhana tahun ini.

Festival tahun ini akan lebih memfokuskan kepada tradisi masyarakat Thailand, antaranya mencurahkan air pada patung Buddha serta mencurahkan air ke tangan orang yang lebih tua sebagai simbol penyucian dan pembersihan daripada nasib malang.

Organisasi dan pertubuhan keagamaan pula memperbanyakkan acara bersifat kerohanian.

Beberapa acara yang dijadualkan berlangsung seperti pertandingan ratu cantik Miss Songkran di Khao San Road dibatalkan, dan kedai serta bar di sepanjang jalan itu pula diminta agar menutup operasi lebih awal.

Penjualan alkohol di Jalan Silom tidak dibenarkan, manakala bunyi muzik yang kuat juga diharamkan.

Festival Songkran bermula hari ini sehingga Sabtu ini.