Filipina hari ini mengesahkan kes pertama jangkitan koronavirus, melibatkan seorang wanita bangsa Cina.

Menurut Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque, wanita berusia 38 tahun itu dijangkiti koronavirus selepas pulang dari Wuhan, China pada 21 Januari lalu.

"Wanita terbabit sedang ditahan di sebuah hospital kerajaan dan tidak menunjukan sebarang gejala," katanya memetik laporan Channel News Asia.

Jabatan Kesihatan Filipina sebelum ini menyenaraikan 23 individu disyaki dijangkiti koronavirus selepas menunjukan gejala selsema.

Menurut jabatan tersebut, 17 daripada jumlah keseluruhan pesakit disyaki itu berada di Metro Manila, termasuk seorang lelaki yang dijangkiti virus HIV yang meninggal akibat radang paru-paru.

"Dua individu yang disyaki pula berada di Central Visayas dan masing-masing seorang di Mimaropa, di daerah Visayas dan Davao.

"Terdapat juga seorang individu yang disyaki dijangkiti koronavirus di Mindanao Barat tetapi dia bebas daripada jangkitan itu sejak semalam," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar positif dijangkiti koronavirus di Kerala, India.


Memetik laporan All India Radio News, pelajar yang menuntut di Universiti Wuhan, China itu telah ditahan di hospital untuk rawatan lanjut.

"Keadaan pesakit terbabit bagaimanapun stabil namun perkembangannya sedang dipantau dengan teliti," tulisnya di akaun Twitter.