Filipina pada Isnin melaporkan kes jangkitan virus Zika pertama yang membabitkan wanita hamil, sementara pihak pemerintah terus mengingatkan rakyatnya agar terus membasmi nyamuk, lapor AFP.

Setiausaha Jabatan Kesihatan, Paulyn Ubial berkata, 12 kes Zika telah dikesan di seluruh Filipina bulan ini, termasuk seorang wanita 22 tahun di Cebu yang sedang hamil anak pertama 19 minggu.

“Pemeriksaan ultrabunyi awal tidak mengesan sebarang yang tidak normal pada kandungan. Dia akan kerap dipantau sepanjang tempoh kehamilan," ujar jabatan itu.

Wanita hamil yang dijangkiti Zika dikhuatiri melahirkan anak dengan masalah microcephaly, iaitu kecacatan yang menunjukkan tanda-tanda fizikal seperti kepala dan otak yang kecil.

Daripada 12 kes yang dikenal pasti, lapan daripadanya adalah wanita dalam usia 9 hingga 55 tahun.

Tidak seorangpun daripada mereka ke luar negara dalam tempoh sebulan sebelum disahkan positif, dan kesemuanya telah sembuh, ujar jabatah itu lagi.

Sebuah pasukan khas telah dihantar ke kawasan yang terjejas untuk menentukan punca jangkitan , selain mencadangkan langkah-langkah untuk menangani virus itu.

Ubial menyeru orang ramai supaya membasmi tempat pembiakan nyamuk, menggunakan ubat penyembur serangga serta memakai kondom sewaktu melakukan hubungan seks.