"Di sebalik boikot bantuan oleh Amerika Syarikat kepada Filipina, kami akan mendapat bantuan senjata terbabit daripada negara lain yang bersahabat baik dengan Filipina."

Demikian ucapan Presiden Rodrigo Duterte berhubung pembelian dan bantuan senjata yang diperlukan Filipina dalam usahanya menentang kegiatan pengganas dan pemberontak di negara itu.

Duterte bagaimanapun tidak menamakan negara yang disifatkan 'bersahabat baik dengan Filipina' terbabit.

"Belum tiba masa untuk saya mendedahkannya tetapi dalam beberapa hari akan datang, kami akan mempunyai lebih kurang 5,000 penghantaran senjata dari negara yang bersahabat," jelasnya.

Rusia sebelum ini mendermakan 5,000 senjata AK-74M Kalashnikov dengan 1 juta kelonsong peluru ke Filipina.

Kalashnikov adalah jenama terkenal senjata Rusia yang dinamakan sempena Mikhail Kalashnikov, yang mencipta Kalashnikov pada tahun 1947.

Ia dianggap sebagai senapang serangan yang paling popular di dunia.

Duterte berkata senapang terbabit akan digunakan dalam usaha berterusan menentang keganasan di negara itu.

Pada Jun 2017, China juga menyumbangkan 3,000 senapang dan peluru untuk membantu kerajaan Filipina dalam memerangi pengganas Maute di Marawi tahun lalu.

Pada November 2016, Duterte mengumumkan Rusia sebagai pembekal utma senjata yang untuk kegunaan Polis Negara Filipina selepas pembatalan jual beli 26,000 senapang dari Amerika Syarikat.

Duterte membatalkan perjanjian jual beli senjata api terbabit berikutan laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang membatalkan penjualan kerana kebimbangan mengenai situasi hak asasi manusia di Filipina.

Selain Amerika Syarikat, Filipina turut membatalkan perjanjian dengan Kanada atas alasan sama bagi pembelian 16 helikopter pelbagai guna dengan nilai pembelian AS$300 juta.