Pembuat roti di Finland menerusi syarikat makanan Fazer pada Khamis melancarkan produk terbaharu yang pertama seumpamanya di dunia, iaitu roti berasaskan serangga.

Roti tersebut diperbuat menggunakan tepung atau serbuk daripada cengkerik kering yang dihancurkan dan diadun bersama tepung gandum dan biji-bijian, lapor Reuters.

Menurut pembuatnya, roti itu mempunyai kandungan protein yang lebih daripada roti gandum biasa.

Setiap buku roti mengandungi kira-kira 70 ekor cengkerik dan ia dijual pada harga 3.99 Euro (RM19.40).

“Ia menawarkan konsumer dengan sumber protein yang bagus selain memberi mereka kaedah mudah untuk membiasakan diri dengan makanan berasaskan serangga,” ujar ketua inovasi Fazer Bakeries, Juhani Sibakov.

Permintaan terhadap makanan alternatif dan sentimen untuk melindungi sumber haiwan lain dalam pemprosesan makanan telah meningkatkan kepentingan penggunaan serangga sebagai sumber protein di beberapa negara Barat.

Kandungan serbuk atau tepung yang diperbuat daripada cengkerik kering yang dihancurkan. - Reuters
Pada November, Finland menyertai negara-negara Eropah -- Britain, Netherlands, Belgium, Austria dan Denmark – yang membenarkan serangga diternak dan dipasarkan sebagai kandungan makanan.

Sibakov berkata Fazer telah menghasilkan roti tersebut sejak musim panas lalu. Mereka terpaksa menunggu kelulusan undang-undang di Finland untuk melancarkannya.

“Saya tidak rasa perbezaannya. Rasanya sama seperti roti,” ujar Sara Koivisto, pelajar dari Helsinki selepas mencuba produk baharu itu.

Bagaimanapun, oleh kerana bekalan cengkerik yang terhad, roti itu hanya akan mula dijual di 11 kedai roti Fazer di pasar raya sekitar Helsinki.

Syarikat itu merancang untuk menjual roduk itu di kesemua 47 kedai rotinya menjelang tahun depan.

Syarikat itu membeli tepung cengkerik dari Belanda, dan dalam pencarian mendapatkan pembekal tempatan.

Fazer bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran jualan bagi produk berkenaan.

Amalan memakan serangga atau entomophagy sudah mula diterima di sesetengah negara. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu menjangkakan sekurang-kurangnya 2 bilion manusia memakan serangga, dan lebih daripada 1,900 spesies digunakan sebagai makanan.