Berita  | Dunia

Francis menjadi pope pertama mengunjungi Semenanjung Arab

Francis menjadi pope pertama mengunjungi Semenanjung Arab
Francis mahu memanfaatkan kunjungannya untuk mempromosi keamanan antara agama. - Reuters
VATICAN CITY: Kunjungan rasmi pertama oleh seorang pemimpin tertinggi Katolik ke Semenanjung Arab bakal berlaku pada Februari tahun depan apabila Pope Francis memenuhi undangan ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam satu kenyataan dari Vatican, lawatan terkini ke negara Islam yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Februari 2019 itu akan dijadikan platform untuk mempromosi keamanan antara agama.
Kunjungan Francis tersebut adalah untuk menyahut undangan daripada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed al-Nahyan, dan sebuah komuniti Katolik kecil di negara itu.

Vatican dalam kenyataan itu memberitahu, mereka berterima kasih kepada kerajaan UAE kerana memberi izin kepada Pope Francis untuk ‘meraikan himpunan di lokasi umum di Abu Dhabi’.

Kebebasan untuk mengamalkan ajaran Kristian, atau agama lain selain Islam, agak jarang berlaku di Negara-Negara Teluk dan setiap negara mengenakan peraturan berbeza.

Sebelum ini, Francis pernah melawat Turki, Jordan, Mesir, Bangladesh, Azerbaijan dan wilayah Palestin dan menggunakan peluang itu untuk menyeru dialog antara agama dan mengutuk aktiviti keganasan yang menyalahgunakan nama Tuhan.

"Tema kunjungan itu nanti adalah ‘Jadikan Saya Saluran untuk Keamanan Anda’. Itulah hasrat Pope Francis ke UAE, sekali gus menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh berkerjasama demi keamanan,” ujar jurucakap Vatican Greg Burke.

Tag: pope francis, katolik, kristian, negara arab, abu dhabi, keamanan, islam


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.