Gabenor Jakarta Joki Widodo mengesahkan kediaman rasminya telah dipasang peranti intipan oleh pihak yang tidak dikenal pasti dan peranti itu dikesan sejak Disember tahun lalu.

"Saya telah tahu mengenainya sejak Disember lepas tetapi saya diam saja. Saya sebenarnya tidak mahu heboh-heboh masalah ini," katanya seperti dipetik oleh laman web The Jakarta Post pada Khamis.

Peranti intipan itu ditemui di bilik tidur, bilik tetamu dan ruang makan tempat beliau lazimnya bermesyuarat.

"Apa yang mahu diintip daripada saya? Tidak ada apa-apa," katanya yang mengaku terkejut dengan penemuan itu tetapi tidak kisah mengenainya dan menganggap isu itu telah selesai.

Ditanya adakah beliau menaruh syak kepada mana-mana pihak atau parti politik yang mungkin terlibat dalam intipan itu, Jokowi berkata beliau tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.

Jokowi juga memaklumkan beliau tidak ada perancangan untuk memeriksa kediamannya atau meningkatkan tahap keselamatan lagi kerana "setiap hari pun saya sudah membersihkan rumah," katanya berjenaka.

Kenyataan Jokowi itu adalah susulan pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Demokrat Indonesia-Perjuangan (PDIP), Tjahjo Kumolo mengenai penemuan tiga peranti itu sebelumnya.

Jokowi disebut-sebut bakal dicalonkan oleh PDI-P pada pemilihan Presiden Indonesia Julai ini dan dilihat sebagai ancaman besar kepada calon parti-parti lain. Dalam beberapa tinjauan pendapat yang dilakukan oleh beberapa badan, populariti Jokowi mendahului calon-calon lain.

Laman web berita detik.com melaporkan Jokowi tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa sebaliknya hanya melaporkan perkara berkenaan kepada pihak pengurusan PDI-P.

Sementaraitu, beberapa pemimpin kanan PDI-P menyifatkan tindakan mengintip itu sebagai politik kotor dan tidak matang.

PDI-P yang kini parti pembangkang dilihat bakal meraih undi besar dalam pilihan raya parlimen dan pemilihan presiden tahun ini selepas Parti Demokrat yang memerintah terkait dengan beberapa skandal rasuah.