Sejumlah 1,000 unit ventilator dari China dijangka tiba di New York City pada Sabtu, umum Gabenor Andrew Cuomo.

"Kita akhirnya beroleh berita baik hari ini.

"Kerajaan China menyumbang sebanyak 1,000 ventilator yang bakal tiba di Lapangan Terbang JFK," katanya di akaun Twitter.





Cuomo melahirkan terima kasih kepada ahli perniagaan Cina dan pengasas bersama Alibaba, Jack Ma dan Joe Tsai, Yayasan Jack Ma serta Yayasan Joe dan Clara Tsai.


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Konsul Jeneral Cina di New York, Huang Ping kerana menjadikannya satu kenyataan.

"Ini adalah sumbangan besar dan perubahan besar untuk kami," kata Cuomo.

Jelasnya lagi, sumbangan itu dilihat tepat pada masanya untuk negara yang sedang memerangi COVID-19 dan berdepan kekurangan ventilator dalam masa kurang seminggu.

Penghantaran itu diumum sehari selepas Presiden Donald Trump menyatakan beliau tidak dapat memberi jaminan kepada New York untuk mendapatkan mesin ventilator yang amat diperlukan.

"Tidak. Mereka sepatutnya mempunyai lebih banyak ventilator pada masa ini.

"Mereka sepatutnya mempunyai lebih banyak ventilator selain yang diservis" kata Trump pada semsa menjawab soalan dari wartawan stesen ABC, Jon Karl.


Cuomo menganggap Trump dan kerajaan persekutuan tidak cukup membantu New York dalam isu kekurangan peralatan perlindungan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) telah menghantar sekitar 4,000 ventilator ke New York pada Rabu, menurut New York Times.

Apabila agensi menghantar 400 ventilator ke New York pada bulan lepas, Cuomo berkata ia tidak mencukupi.

"Apa yang akan saya lakukan dengan 400 ventilator apabila saya memerlukan 30,000?

"Anda memilih 26,000 orang yang akan mati kerana anda hanya menghantar 400 ventilator," kata Cuomo.

Gabenor menandatangani perintah eksekutif pada Jumaat yang membenarkan negara mengambil ventilator dan peralatan pelindung diri (PPE) dari institusi yang tidak memerlukannya dan mengagihkannya ke tempat yang diperlukan.

New York mencatatkan 113,704 kes COVID-19 dan 3,565 kematian pada Sabtu.

Kedua-dua angka mendahului carta kes dan kematian yang disahkan di Amerika Syarikat, yang kini mempunyai lebih 270,000 kes.

Cuomo mendedahkan pada hari Selasa bahawa saudaranya, pembaca berita di CNN, Chris Cuomo, positif COVID-19 dan menyatakan koronavirus lebih berbahaya daripada apa yang dijangkakan.

New York merancang untuk membina lapan hospital sementara untuk memenuhi jangkaan pesakit koronavirus dan matlamat negara itu untuk mendapatkan 140,000 kapasiti katil hospital dari 53,000 katil kini.