Polis India telah menahan dua lelaki kerana menembak mati seorang gadis berusia 14 tahun yang menolak pelawaan seks mereka, dalam satu lagi kes keganasan seksual di negara itu hari ini.

Kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal itu telah membuat gangguan seksual ke atas gadis berkenaan dan kakaknya secara lisan ketika kedua-duanya, yang bekerja sebagai pembantu rumah, mahu pulang ke kediaman mereka di Uttar Pradesh lewat semalam, kata polis.

“Gadis-gadis itu meminta lelaki berkenaan untuk berhenti menggangu mereka tetapi mereka enggan membuat demikian sehingga seorang daripada mereka menembak mangsa,” kata pegawai kanan polis di daerah Sitapur Rahul Mithas kepada AFP.

Katanya, mereka cuba melarikan diri namun ditahan selepas kakak mangsa memberi maklumat tentang mereka.

Media tempatan melaporkan, pasangan adik-beradik itu telah membuat aduan kepada polis setelah kerap diggangu oleh kedua-dua lelaki berkenaan, namun mereka tidak menerima sebarang bantuan.

Aktivis hak asasi wanita menuduh polis sering terlepas pandang aduan berhubung kes gangguan seumpamanya, dan itu hanya akan membuatkan para pelaku keganasan seksual semakin berani dengan tindakan mereka.

Kes rogol seorang pelajar di dalam bas di Delhi pada 2012 telah mendapat perhatian global tentang kes-kes keganasan seksual terhadap wanita.

Ia membawa kepada pembaharuan termasuk proses perbicaraan lebih cepat, hukuman yang lebih berat bagi pesalah dan lebih banyak bantuan untuk polis. Namun jumlah serangan masih berterusan.