Dua pelarian termasuk seorang kanak-kanak Rohingya maut dipijak seekor gajah liar yang merempuh kem didiami etnik Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Insiden pada Khamis di pinggir kem pelarian Kutupalong itu mengakibatkan semua penghuni kem pelarian berkenaan lari lintang pukang menyelamatkan diri.

Video yang berjaya dirakam dan dimuat naik seorang pembuat filem, Shafiur Rahman, menunjukkan detik cemas ketika orang ramai menjerit apabila haiwan itu mengamuk di tengah-tengah kem pelarian.

Gajah berkenaan turut merosakkan beberapa pondok yang ditempatkan di kem tersebut.


Menurut Shafiur, insiden gajah amuk di kem pelarian Rohingya makin kerap berlaku ekoran kawasan penempatan yang berhampiran habitat haiwan berkenaan.

Ekoran konflik di Rakhine, kira-kira 700,000 orang etnik Rohingya telah melarikan sejak Ogos lalu.