Calon Presiden bagi pilihan raya Presiden (Pilpres) Indonesia, Prabowo Subianto berjanji menaikkan gaji golongan doktor di republik itu yang disifatkannya terlalu rendah.

Berucap pada malam pidato kebangsaan di Senayan semalam, beliau berkata salah satu keutamaannya jika dipilih sebagai Presiden ialah menetapkan gaji golongan profesional perubatan itu ke tahap selayaknya.

"Ketika ini ramai doktor bergaji kecil berbanding tukang jaga parkir.

"Gaji mereka mesti dinaikkan kerana mereka memang layak," katanya sepertimana dilaporkan Sinar Harian.

Pada kempen Pilpres 2014, Prabowo secara lantang mahu gaji doktor dan petugas kesihatan dinaikkan bagi menjamin perkhidmatan kesihatan yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Prabowo turut berjanji mengedarkan susu percuma kepada seluruh kanak-kanak sekolah di Indonesia.

"Tidak boleh ada anak Indonesia kurang makan dan kelaparan di republik kita.

"Prestasi kita mesti setanding dengan negara jiran," katanya.

Pilpres yang berlangsung pada 17 April ini mengulangi sejarah pilihan raya 2014 apabila Prabowo dan Joko Widodo atau Jokowi, merupakan dua calon utama merebut jawatan Presiden Indonesia.