BAGAIMANAKAH anda berkongsi berita gembira menerima kenaikan pangkat? Belanja makan? Membawa keluarga bercuti? Berkaraoke bersama teman-teman?

Berbeza pula dengan cara meraikan kenaikan pangkat di India, seorang pegawai polis dilihat sedang asyik menari dengan lagu Bollywood telah tular meluas di internet.

Memetik The Indian Express, rakaman video berdurasi hampir satu minit itu merupakan hari terakhir Asisten Sub-Inspektor, Krishna Sadhan Mondal sebelum dipindahkan ke Balai Polis Chittaranjan atas sebab kenaikan pangkat, pada 2 Disember lalu.

Menerusi rakaman video berkenaan, dia dilihat ketika itu sedang berpakaian seragam polis sambil menari mengikuti rentak lagu Bollywood yang mengubah nasibnya.

Sejurus video terbabit tular, kenaikan pangkatnya telah digantung.

Pesuruhjaya Polis Daerah Asansol-Durgapur, Laxmi Narayan Meena berkata satu arahan telah dikeluarkan bagi menyiasat keseluruhan insiden itu.

Sementara itu, portal NDTV melaporkan dua anggota polis telah diarahkan untuk menjelaskan tindakan mereka dan disoal siasat untuk mengetahui sama ada orang luar turut hadir semasa kejadian.