Seorang pekerja di sebuah bar di Changsa, Hunan, China dipecat gara-gara menjawab permintaan pengurusnya menggunakan emoji “OK”.

Menurut laporan media, pekerja berkenaan menerima arahan pada aplikasi WeChat yang meminta dia mengirimkan sebuah dokumen berkaitan kerja.

Berang dengan jawapan itu, pengurus berkenaan membalas mesej pekerjanya dengan bertanyakan sama ada dia tahu tentang prosedur formal semasa bekerja.

“Anda perlu menggunakan teks untuk menjawab mesej yang diterima. Apakah anda tidak tahu ia merupakan satu peraturan,” soal majikan itu kepada pekerjanya.

Beberapa minit kemudian, pengurus itu meminta pekerjanya menghubungi bahagian sumber manusia dan menyerahkan surat berhenti kerja.

Pekerja itu yang hairan dengan tindakan pengurusnya melahirkan rasa kecewa kerana diberhentikan kerja semata-mata kerana isu yang sangat remeh.

“Saya sudah bekerja bertahun-tahun dan ini kali pertama saya berdepan hal remeh seperti ini. Namun, saya tidak akan membalasnya," tambahnya.

Pekerja berkenaan yang tidak dinyatakan identitinya berkata rakan-rakannya juga sepakat bahawa tindakan pengurus itu keterlaluan dan melampaui batas.

Dalam pada itu, pengurus berkenaan membuat satu peraturan baharu agar setiap mesej diterima perlu dibalas dengan ‘’roger’’.