Urus niaga tukaran mata wang kripto Jepun mengalami kerugian 58 bilion Yen atau AS$530 juta.

Jumlah ini mengatasi kerugian 48 bilion Yen (AS$441.6 juta) yang dialami Mt. Gox Bitcoin yang berpangkalan di negara itu pada tahun 2014.

Menurut laporan media tempatan The Kyodo News, kerugian itu berpunca daripada penggodaman.

The Coincheck, syarikat yang menguruskan mata wang kripto NEM memaklumkan akan mendapatkan bantuan kewangan bagi menangani kesulitan itu.

Presidennya Koichiro Wada dalam sidang media memohon maaf kepada semua pelabur yang terjejas.

“Sebahagian perkhidmatan kami digantung hari ini. Saya memohon maaf atas kesulitan anda susulan insiden ini,” jelas Wada.

The Coincheck dalam laman webnya sebelum itu mengesahkan telah mengambil beberapa tindakan bagi menghalang kerugian berterusan.

Ia termasuk menggantung jualan dan pengeluaran mata wang kriptonya, pada masa sama mengehadkan urusniaga dengan mata wang kripto yang lain.

The Coincheck mengesan berlakunya akses tanpa kebenaran dalam sistemnya pada awal pagi Jumaat.