Seorang lelaki di Thailand yang ketagih bermain permainan video cuba meracun keluarganya selepas mereka mencabut sambungan wifi untuk menghentikan aktivitinya itu.

Sak Duanjan, 29 tahun, pulang dalam keadaan mabuk dan mula bermain permainan video dengan kuat pada telefon bimbitnya ketika ibu bapanya mahu tidur di kediaman mereka di Sisaket ketika kejadian pada Khamis lalu.

Bapa tirinya, Chakri Khamruang, 52 tahun, bingkas bangun dari katil dan menutup sambungan wifi untuk mengelakkan gangguan tersebut.

Tindakan bapa tirinya itu telah menyebabkan dua beranak itu bergaduh selepas Sak mengamuk secara tiba-tiba.

Keesokan harinya, ibunya, Suban Duanjan, 51 tahun, menemui racun makhluk perosak terapung di dalam perigi. Menurut ibunya, racun tersebut ditemui ketika dia mahu mengambil air untuk memasak nasi.

"Saya melihat dia meletakkan sesuatu ke dalam balang kira-kira jam 2 pagi (waktu tempatan). Saya bertanya apa yang dia cuba lakukan, namun tiada jawapan dan dia terus kembali ke bilik tidurnya. Saya masih tidak percaya dia lakukan perbuatan tersebut.

"Kami berusaha sebaik mungkin untuk menangani sikap panas barannya. Tetapi, kali ini sudah melampau," kata wanita itu.

Pasangan itu kemudiannya memutuskan untuk menghubungi pihak berkuasa.