Indonesia bergegar lagi.

Kali ini, gegaran bermagnitud 5.7 pada skala Richter menggoncang wilayah Bengkulu di kepulauan Sumatera.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) dalam kenyataan yang dipetik Bernama berkata gempa berpusat di 42km Timur Laut Lebong, Provinsi Bengkulu itu berlaku pada 3.39 petang waktu Indonesia Barat.

Gegaran gempa itu dirasakan di Kota Bengkulu, Kepahiang, Bengkulu Tengah, Manna, Mukomuko, Lebong, Pesisir Selatan, Kepulauan Mentawai, Pariaman dan Padang.

Menurut media Indonesia, penduduk dilaporkan bertempiaran keluar dari bangunan dan kediaman mereka.

Bagaimanapun, BMKG melaporkan gempa itu tidak mencetuskan tsunami.

Setakat ini belum terdapat sebarang laporan kemusnahan harta benda atau kemalangan jiwa.