SATU kejadian gempa bumi berkekuatan 6.9 magnitud menggegarkan perairan selatan Pulau New Britain di Papua New Guinea pada Jumaat, lapor Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS berkata gempa tersebut, yang pada awalnya dilaporkan sekuat 7.2 magnitud, sekali gus mencetus amaran tsunami untuk kawasan perairan berdekatan.

Pihak berkuasa Australian juga mengesahkan, tiada ancaman tsunami di zon pinggir pantai Negara Kanggaru itu susulan gempa berkenaan.

Pihak USGS berkata, gegaran yang berlaku di bawah dasar laut dan dekat dengan pantai selatan pulau berkenaan, terjadi pada jam 7.25 pagi waktu tempatan.

Gegaran itu berpusat 162 kilometer di barat daya Rabaul.

Papua New Guinea, yang merupakan salah satu daripada negara termiskin di dunia, baru saja hendak pulih daripada insiden gempa bumi dengan bacaan 7.5 magnitud kira-kira sebulan yang lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan tanah tinggi itu, sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh apabila tanah runtuh menimbus perkampungan.