Gempa bumi dengan kekuatan 7.0 magnitud melanda Anchorage, Alaska pada Jumaat (30 November), hingga menyebabkan banyak bangunan musnah manakala rangkaian perhubungan terputus.

Gegaran yang berlaku pada 8.29 pagi waktu tempatan (1.30 pagi waktu Malaysia, Sabtu) itu, ketika penduduk setempat sibuk memulakan aktiviti harian seperti menghantar anak-anak ke sekolah manakala orang dewasa ke tempat kerja.

Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberitahu, pusat gempa dikenal pasti di 13 kilometer (km) ke utara Anchorage, dengan kedalaman 40km.

Pihak polis berkata, banyak infrastruktur dilaporkan musnah di sekitar bandar yang berpopulasi 300,000 orang tersebut.

“Banyak rumah dan bangunan mengalami kerosakan. Jalan raya dan jambatan juga ditutup kerana dalam keadaan bahaya untuk digunakan,” ujar pihak polis dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa belum menerima laporan rasmi tentang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Amaran tsunami juga dikeluarkan untuk kawasan sekitar Cook Inlet dan Kenai akibat gempa tersebut, namun amaran itu ditarik balik selepas itu.

Penduduk tempatan turut berkongsi situasi sewaktu gegaran dan kesan selepas bencana alam itu ke media sosial.