Sekurang-kurangnya lapan terbunuh selepas satu gempa bumi berukuran 6.1 magnitud melanda Pulau Luzon di Filipina pada Isnin petang.

Gempa berlaku 60 km ke barat laut ibu negara Manila, yang turut menjejaskan perkhidmatan penerbangan, kereta api dan pengangkutan darat selain meranapkan beberapa bangunan dan infrastruktur.

Lapor agensi berita Reuters, Wilayah Pampanga adalah kawasan paling teruk terjejas. Selain lapan yang terbunuh, 20 yang lain turut cedera kata gabenor wilayah, Lilia Pineda.

Pasukan penyelamat bekerja keras dengan dibantu skuad anjing untuk mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di dalam runtuhan sebuah bangunan empat tingkat yang turut meranapkan tingkat bawah bangunan terbabit yang merupakan sebuah pasaraya.

“Terdengar ada yang menangis. Tidak mudah untuk menyelamatkan mereka,” kata Pineda.

Sejurus itu juga perkhidmatan keretapi dihentikan dan orang ramai diarahkan berpindah keluar dari bangunan dan kediaman. - Foto Reuters
Laporan awal menyebut gegaran mencecah 6.3 magnitud namun diturunkan kepada 6.1.

Selain itu terdapat rekahan besar di jalan raya dan tiang elektrik yang tumbang di Pampanga dan pihak berkuasa menjangkakan jumlah kematian bakal meningkat.

Di Manila, gegaran dapat dirasakan sekitar 5 petang, menyebabkan bangunan tinggi di kawasan perniagaan utama bergegar untuk beberapa minit.

Sejurus itu juga perkhidmatan kereta api dihentikan dan orang ramai diarahkan berpindah keluar dari bangunan dan kediaman.

Angka korban dan mereka yang cedera dijangka meningkat.