Satu gempa bumi bermagnitud 6.1 pada skala Richter melanda Jepun pada Isnin.

Gempa yang sebelum ini diukur pada magnitud 5.9, telah mengakibatkan tiga mangsa maut – seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan dua lelaki warga emas.

Menurut laporan penyiar awam NHK, lebih 200 orang tercedera dalam insiden yang berlaku pada kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan.

Insiden tersebut juga menyebabkan operasi pelbagai kilang tergendala serta saluran air pecah.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, pusat gempa bumi itu adalah di bahagian utara Prefektur Osaka dan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran berkenaan menyebabkan 170,000 kediaman di Osaka dan Prefektur Hyogo mengalami gangguan bekalan elektrik.

Perkhidmatan kereta api di kawasan Osaka juga dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga.

Orang ramai diarah turun daripada kereta api di Osaka susulan gempa bumi yang melanda kawasan itu hari ini. - Kyodo/REUTERS
Sementara itu, Perdana Menteri Shinzo Abe memberitahu wartawan, kerajaan sedang mengambil segala tindakan yang perlu dan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa penduduk.

Beliau berkata, semua petugas telah diberi arahan untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerosakan dan menumpukan kepada usaha menyelamatkan nyawa, selain membekalkan maklumat lengkap, tepat dan pantas bagi disebarkan kepada orang ramai.