Satu rakaman video menjadi tular apabila memaparkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun tiba-tiba muncul dari sebuah trak seraya mengangkat kedua-dua belah tangannya seolah-olah menyerah diri selepas dipercayai diacukan raifal oleh anggota polis.

Kejadian berlaku di Tallahassee, Amerika Syarikat pada Khamis dan rakaman diambil daripada telefon bimbit seorang saksi yang berada di tempat kejadian.

Rakaman juga menunjukkan kanak-kanak itu berusaha keras untuk turun dari trak terbabit ekoran fizikalnya yang kecil, kata saksi.

Jurucakap polis dalam reaksinya berkata, kejadian berlaku sewaktu anggotanya ke tempat kejadian selepas menerima aduan berlaku kecurian di sebuah kedai.


Pencuri juga dikatakan bersenjata dan membawa seorang kanak-kanak di dalam kenderaan ketika meninggalkan kedai.

Polis juga terpaksa berhati-hati dalam situasi itu.

Anggota polis bagaimanapun mendukung kanak-kanak itu sejurus keadaan didapati selamat.



Kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit juga adalah suspek dalam kejadian mencuri itu.

Hasil siasatan pada kenderaan, tiada senjata ditemui namun terdapat kotak peluru dibahagian penumpang belakang trak terbabit.

Video rakaman kejadian dari pihak polis kemudiannya disiarkan bagi tontonan umum yang antara lain memaparkan polis merendahkan muncung rifel sejurus melihat seorang kanak-kanak.