Berita  | Dunia

Gereja Filipina jadi 'panas', Duterte kata semua paderi adalah bodoh

Gereja Filipina jadi 'panas', Duterte kata semua paderi adalah bodoh
DUTERTE: Paderi-paderi ini perlu sedar batas mereka.
MANILA: Satu demi satu kenyataan Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengundang kontroversi.

Terbaru, paderi di gereja-gereja Katolik di negara itu ‘panas telinga’ apabila Duterte menyifatkan semua paderi sebagai ‘bodoh’ kerana menyertai institusi yang tidak membolehkan mereka berkahwin.

Duterte, yang tidak mempunyai hubungan baik dengan gereja, kerana institusi agama itu pernah mengkritik dasar perang dadahnya, mempertikai keputusan golongan lelaki yang memilih untuk menjadi paderi kerana itu menghalang mereka mendekati wanita.
“Adakah wujud paderi yang bijak? Mereka semua bodoh. Kalau mereka tidak bodoh, mereka tidak akan menyertai proses menjadi paderi.

“Anda seorang lelaki, tapi anda memilih untuk menjadi paderi. Anda hanya dapat melihat semua wanita cantik yang anda tidak boleh dekati,” ujarnya dalam satu acara mengagihkan geran tanah di Negros Occidental pada Jumaat.

Serangan kata-kata Duterte itu memanjangkan lagi ketegangan hubungannya dengan gereja Katolik – yang menjadi kepercayaan bagi lebih daripada 80 peratus rakyat Filipina.

Dalam ucapannya sebelum ini, Duterte berkata sekurang-kurangnya 80 peratus paderi Katolik adalah gay.

Presiden bermulut lancang itu juga beberapa kali mengaitkan gereja dengan aktiviti pencabulan seksual, selain memperlekeh kritikan kepadanya yang hanya disuarakan di ruang altar.

Duterte, yang menggunakan platform ucapan presidennya untuk mempersoal doktrin Katolik, mendakwa para paderi perlu mengelak daripada mengkritik kerajaan kerana kedua-dua instutusi itu berbeza.

"Paderi-paderi ini perlu sedar batas mereka. Mereka yang mulakannya dahulu!" Kata Duterte.


Tag: rodrigo duterte, presiden, filipina, paderi, gereja, katolik, agama, pemerintah, politik, kritikan politik


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.