KECEWA bekas teman wanitanya tidak mahu kembali menjalinkan hubungan dengannya, seorang lelaki bertindak menggigit hidung gadis itu hingga putus.

Dalam kejadian di Chandkheda, Ahmedabad, India pada Jumaat lalu, mangsa memberitahu bahawa suspek berbuat demikian selepas berang permintaannya untuk diberi peluang kedua ditolak.

Menurut laporan polis, mangsa yang dikenali sebagai Manju Parmar, 24 tahun, mendakwa didatangani bekas teman lelakinya itu secara tiba-tiba.

"Pada 12 April lalu, ketika mangsa dalam perjalanan kembali ke tempat kerja dari bilik air, lelaki tersebut (Keshavlal) muncul secara tiba-tiba dan memeluknya.

"Manju kemudiannya berterus-terang memberitahu dia tidak mahu ada sebarang hubungan dengannya. Keshavlal menjadi berang dan menggigit hidung wanita tersebut sampai putus, menyebabkannya cedera parah," kata laporan tersebut.

Ketika mangsa menjerit minta bantuan dan pekerja lain bergegas ke sana, Keshavlal melarikan diri dari tempat kejadian.

Manju kemudiannya bergegas ke hospital dan kemudian membuat laporan dengan polis di Chandkheda.