KES melibatkan gangguan seksual di tempat kerja adalah suatu kesalahan serius dan perlu diberi perhatian oleh majikan, dan prinsip itu yang dipegang Ketua Eksekutif Google Inc Sundar Pichai.

Pada Khamis Pichai berkata, syarikat itu sudah memecat sejumlah 48 pekerjanya yang terlibat dengan kesalahan seumpamanya sepanjang tempoh dua tahun.

Pichai telah menghantar e-mel kepada para pekerja Google sebagai maklum balas kepada laporan New York Times yang disiarkan pada hari yang sama.

Laporan itu menyatakan, syarikat enjin carian gergasi itu melindungi tiga eksekutif kanan daripada dakwaan salah laku seksual dengan menawarkan bayaran.

E-mel itu menegaskan, daripada 48 pekerja yang dipecat, 13 daripadanya merupakan pengurus kanan atau yang memegang jawatan tinggi dalam Google.

Bagaimanapun, Pichai berkata tiada seorangpun dalam kalangan pekerja yang dipecat itu menerima pakej pemberhentian.

Naib Presiden Google bahagian Operasi Sumber Manusia Eileen Naughton, berkata para pekerja syarikat boleh menggunakan aplikasi dalaman syarikat untuk melaporkan kes salah laku seksual secara rahsia.

Google juga telah mengemas kini polisi yang memerlukan semua naib presiden dan naib presiden kanan untuk mendedahkan sebarang hubungan dengan pekerja syarikat.

"Kami komited untuk memastikan Google menjadi tempat yang anda rasa selamat untuk bekerja, dan tindakan yang tegas akan diambil ke atas mereka yang melakukan salah laku," kata kenyataan dalam e-mel berkenaan.