Gunung berapi Guatemala meletus pada Sabtu dan memuntahkan lava serta debu panas yang menghujani kawasan kediaman penduduk di kaki gunung, lapor AFP.

Letusan yang berlangsung sehingga 13 jam itu dikhuatiri membawa impak kemusnahan sehingga ke ibu negara, kata pihak berkuasa perlindungan awam.

Terletak sejauh 45 kilometer di barat daya Guatemala City, ia dipanggil Volcan de Fuego (Gunung Api) dalam bahasa tempatan, yang merupakan salah satu daripada tiga gunung berapi aktif di negara itu dan kali ini adalah letusan yang kedua tahun ini.

Jurucakap Koordinator Kebangsaan bagi Pengurusan Bencana, David de Leon, berkata aktiviti gunung berapi itu kemudian menjadi lebih stabil selepas 13 jam tersebut.

Letusan kuat dari gunung setinggi 3,763 meter (m) itu menggemparkan penduduk bermula jam 11.30 malam Jumaat (1.30 petang waktu Malaysia).

Pada sebelah petang, debu panas memenuhi ruang langit Guatemala sehingga 4,500m di atas paras laut, selain aliran lava yang mengalir sehingga 1,600m.

Setakat ini, empat wilayah di sekitar gunung ditimbus debu.

Selain Fuego, dua gunung berapi lain adalah Santiaguito di barat dan Pacaya di sebelah selatan, yang jaraknya hanya 30 kilometer dari ibu negara.