Gunung Berapi Sinabung dilaporkan meletus dan memuntahkan abu ke udara pagi tadi.

Bagaimanapun setakat ini tiada laporan kecederaan atau kematian akibat letusan tersebut.

Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia menyatakan abu panas yang dimuntahkan oleh gunung berapi berkenaan terhambur setinggi 4,900 meter dengan tanda-tanda ia bergerak ke arah selatan mengikut tiupan angin.

Gunung berapi berkenaan direkodkan tidak aktif setelah lebih empat abad sebelum ia kembali meletus pada 2010 yang menyebabkan dua maut.

Pada 2014 gunung berkenaan sekali lagi meletus dan membunuh 16 orang dan kali terakhir ialah pada tahun 2016 hingga mengorbankan tujuh orang.

Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi Serantau yang berpangkalan di Darwin Australia telah mengeluarkan Amaran Merah kepada semua syarikat penerbangan.