Presiden Indonesia, Joko Widodo memaklumkan daerah Gunung Mas di Kalimantan Tengah sebagai lokasi paling sesuai untuk dijadikan ibu negara baharu berdasarkan keluasan wilayah tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika lawatan beliau ke Tumbang Talaken untuk melihat lokasi baharu yang diuar-uar bakal menggantikan bandar raya Jakarta.

Menurut beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi, ia bagaimanapun perlu dikaji dalam pelbagai aspek, lapor Kompas.com.

"Persediaan infrastruktur perlu dibuat dari awal selain mempertimbangkan isu sosial politik, sosiologi masyarakat dan perkara lain," kata Jokowi.

Jelasnya lagi, terdapat kelebihan dan kekurangan lokasi pertama di Bukit Soeharto, Balikpapan, Kalimantan Timur dengan Gunung Mas.

"Balikpapan masih berdepan isu banjir manakala Kalimantan Tengah pernah dipilih bekas presiden Soekarno. Ia pasti mempunyai sebab tersendiri.

"Tidak mungkin keputusan itu dibuat tanpa hujah data dan fakta," tambahnya.

Jokowi menjelaskan sebuah pasukan akan dihantar ke lokasi terbabit untuk melakukan tinjauan.

Maklumat yang dikumpulkan itu kemudiannya akan diserahkan kepada beliau sebelum diputuskan.

"Saya turun sendiri ke lokasi terbabit untuk mencari 'feel' kerana mudah untuk membuat keputusan kelak," ujarnya.