SEORANG guru di Tennessee, Amerika Syarikat, digantung tugas selepas dengan sengaja menanggalkan hijab salah seorang pelajarnya.

Guru berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan, berbuat demikian dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran di New Vision Academy yang terletak di Nashville, minggu lalu.

Video rakaman itu dimuat naik oleh guru tersebut ke Snapchat.

Berdasarkan rakaman, guru itu seolah-olah mahu bergurau dengan pelajar terbabit.

Turut dimuat naik adalah beberapa rangkap kapsyen, antaranya berbunyi 'Rambut yang cantik tetapi disembunyikan'.

Pelajar terbabit dilihat cuba untuk menutup rambutnya kembali namun tidak berjaya kerana guru itu cuba bermain-main dengan rambutnya.

Ia menaikkan kemarahan ramai terutamanya kumpulan sokongan penganut agama Islam di Amerika, dan meminta guru itu dilucutkan daripada jawatannya.

Menurut laporan portal Tennessean, satu siasatan telah dimulakan oleh sekolah itu, dan guru tersebut digantung tugas tanpa gaji.

"Kami telah menjalankan siasatan kes ini. Buat masa ini tiada keputusan berkenaan tindakan selanjutnya, tetapi kami akan berjumpa dengan guru itu tidak lama lagi untuk berbincang," kata peguam yang dilantik.