PENDAKWA RAYA negara Arab Saudi telah mengarahkan penggantungan selama 40 hari terhadap seorang guru di sebuah sekolah sementara menunggu siasatan berhubung frasa pemujaan syaitan membabitkan kertas peperiksaan.

Akhbar Saudi Okaz melaporkan lelaki itu sudah memadam frasa 'mencari perlindungan daripada ALLAH' dan menggantikannya dengan 'mencari perlindungan daripada iblis' dalam peperiksaan di sebuah sekolah rendah di kawasan barat Saudi, Al Bahah.

Begitupun jurucakap pegawai pendidikan tempatan berkata, kertas peperiksaan itu kemudiannya segera ditarik balik dari murid dan memulakan siasatan dengan mencadangkan guru terbabit digantung serta dihalang daripada memasuki sekolah.

"Guru itu mempunyai rekod jenayah, dia pernah disabitkan dalam 10 kes berhubung akhlak dan dadah. Beliau juga dikatakan merokok di sekolah ketika waktu mengajar dan memainkan lagu di sistem penyiaran sekolah semasa ujian masa berlangsung," kata pegawai yang tidak dinamakan itu.

Saudi Okaz turut melaporkan sumber perubatan mengatakan bahawa guru terbabit berkemungkinan menderita akibat 'halusinasi' dan ketidakseimbangan psikologi dengan menyatakan dia pernah dimasukkan ke hospital psikiatri. - Agensi