Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menzahirkan sokongan dan pujian terhadap komuniti Islam New Zealand sewaktu melawat dua buah masjid yang terlibat dalam insiden berdarah Mac lalu.

Dalam ulasannya sewaktu kunjungan pada Selasa, Guterres menyeru supaya usaha dipergiatkan untuk menghapuskan ucapan berbaur kebencian yang merebak debngan pantas di media sosial.

Reuters melaporkan, Guterres juga telah mengarahkan pasukan PBB untuk membangunkan perancangan dam tindakan global.

"Ucapan kebencian sedang merebak dan hubungan antara orang awam semakin terjejas.

"Media sosial dieksploit sebagai platform kebencian. Kita perlu menunjukkan solidariti untuk menentang hal ini,” ujarnya.

Guterres menghabiskan masa kira-kira 30 minit di dalam Masjid Al Noor, dan sempat berbual dengan pemimpin komuniti Islam dan mereka yang terselamat dalam insiden serangan itu.

Di luar masjid, beliau memberitahu wartawan bahawa, sama seperti ramai orang di seluruh dunia, dia juga tersentuh dengan cerita tentang belas kasihan.

"Saya tahu tiada kata-kata dapat menyembuhkan kesakitan dan penderitaan, namun saya mahu datang jke sini secara peribadi untuk menyebarkan kasih sayang, sokongan dan rasa kekaguman," ujar Guterres.

Beliau kemudian ke Masjid Linwood untuk bertemu mangsa yang terselamat, Abdul Aziz, yang dianggap sebagai wira kerana mengejar penyerang dalam insiden berkenaan dengan membaling mesin kad kredit.

Aziz berkata, dia berbesar hati dapat bertemu dengan pemimpin PBB itu.

“Untuk beliau datang ke sini dan berkongsi kesedihan ini, ia amat bermakna,” ujar Aziz.

Guterres juga dijadual menghadiri acara berkaitan isu perubahan iklim dalam rangka lawatannya di New Zealand, menjelang Persidangan Tindakan Iklim di New York pada September.

Dalam insiden berdarah yang mengorbankan 51 orang di Christchuch Mac lalu, warga Australia yang juga ekstremis kulit putih, Brenton Tarrant, 28, didakwa atas serangan bersenjata di kedua-dua lokasi – Masjid Al Noor dan Linwood.