Sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dan 158 cedera dalam letupan bunuh diri di Kabul, Afghanistan.

Taliban mengaku bertanggungjawab melakukan serangan pada Sabtu, seminggu selepas dakwaan serangan terhadap Hotel Intercontinental di Kabul yang mengakibatkan lebih 20 orang terbunuh.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri menyalahkan rangkaian Haqqani yang bergabung dengan Taliban, termasuk menyokong pelbagai serangan besar terhadap lokasi sasaran di Afghanistan.

Penyerang meletupkan bahan letupan yang disembunyikan pada ambulans berhampiran jalan bangunan kementerian yang sibuk di Kabul.

Selain itu, Hospital Jamhuriat, pejabat kerajaan, perniagaan dan sekolah juga dekat dengan lokasi serangan.

Agensi menyebut, pihak berkuasa Afghanistan menyifatkan serangan itu sebagai satu 'pembunuhan beramai-ramai'.

"Selepas serangan itu, kami melihat mayat yang bergelimpangan di seberang jalan. Hospital-hospital juga dibanjiri mangsa yang cedera dan pihak berkuasa bimbang jumlah kematian dijangka meningkat," katanya.

Selain itu, Ketua khas PBB ke Afghanistan, Tadamichi Yamamoto mengutuk serangan tersebut dan berkata individu bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan.

"Serangan hari boleh disifatkan sebagai salah satu kekejaman, pihak yang bertanggungjawab merancang serangan itu mesti diheret ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan.