Isteri Pengerusi Korean Air, Lee Myung-hee disoal siasat polis, hari ini selepas beliau didakwa menyerang beberapa pekerjanya termasuk pekerja binaan yang mengubah suai kediaman keluarganya.

Myung-hee, 69, itu turut berdepan tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat, menampar, menendang malah membaling gunting ke arah amah dan pembantu peribadinya.

"Saya minta maaf kerana menimbulkan masalah," katanya kepada wartawan ketika tiba di ibu pejabat polis di Seoul.

Sebuah video yang tersebar bulan lalu menunjukkan seorang wanita dipercayai Myung-hee mengasari pekerja binaan wanita dan turut membaling setimbun dokumen ke atas tanah.

Sebelum ini, keluarganya telah dihimpit skandal memalukan selepas dua anak perempuannya yang dikenali kerana sikap panas baran mereka menjadi tular di media sosial. - Agensi