Berita  | Dunia

Hanya esakan, tangisan kedengaran di tengah lautan...

Hanya esakan, tangisan kedengaran di tengah lautan...
Keluarga mangsa menaiki dua kapal tentera laut Indonesia dan membaling jambak dan kelopak bunga ke Laut Jawa di luar pantai utara negara itu. - Foto Agensi
ACARA menabur bunga dan berdoa di lokasi jatuhnya pesawat Lion Air di perairan Tanjung Karawang, Jawa Barat sebagai menghormati mangsa korban pesawat mengundang rasa hiba.

Menerusi laporan Tribun News, ia merupakan kali pertama keluarga korban mengunjungi kawasan jatuhnya pesawat tersebut.

Keluarga mangsa menaiki dua kapal tentera laut Indonesia dan membaling jambak dan kelopak bunga ke Laut Jawa di luar pantai utara negara itu di mana pesawat terbabit terhempas minggu lalu, mengorbankan kesemua 189 di dalamnya.
Hanya terdengar esak dan tangis dari ratusan ahli keluarga korban yang hadir. Mereka juga saling berpelukan dan menitiskan airmata dan pada masa yang sama cuba menenangkan kesedihan masing-masing.

Ada yang membaca doa dan membuka kitab suci malah ada yang jatuh pengsan.

Bukan sahaja anggota keluarga yang berasa sedih tetapi juga semua yang hadir dalam acara tersebut.

Suasana bertambah hiba, apabila salah seorang isteri mangsa korban pesawat Lion Air JT610 juga tiba-tiba meronta bagaikan histeria.

"Saya nggak (tidak) mau (mahu) pulang, saya mau (mahu) di laut sama (bersama) suami saya," teriak wanita itu.

Wanita tersebut juga telah berpegang pada besi kapal dan seolah-olah sedia untuk melompat.

Namun sebelum itu, dia juga sempat mendoakan kesejahteraan dan diampunkan dosa-dosa suaminya sebelum mula tidak dapat mengawal diri akibat kesedihan tersebut.       

Namun selepas azan berkumandang, wanita tersebut berjaya ditenangkan para petugas yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada wanita itu.