Sebuah helikopter yang membawa Ketua Polis Filipina, Jenderal Archie Gamboa Francisco bersama tujuh orang termasuk kru terhempas di bandar San Pedro di Wilayah Laguna, Selatan Manila pada Khamis.

Jurucakap daerah, Leftenan Kolonel Chitadel Gaoiran berkata, kesemua mangsa bagaimanapun selamat dan hanya mengalami cedera ringan.

"Helikopter berkenaan berlepas sebaik selesai mengadakan perjumpaan dengan pegawai polis tempatan sebelum merempuh kabel tenaga dan terhempas di atas jalan berhampiran kawasan perumahan," katanya.

Sementara itu, Gamboa menerusi hantaran dalam akaun Twitter rasminya memberitahu, kesemua mangsa kini dirawat di sebuah hospital berdekatan.