Hezbollah memberi komitmen sepenuhnya kepada bakal Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri, untuk membentuk kerajaan baharu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan Hezbollah pada Selasa.

"Hezbollah masih yakin bahawa Hariri sepatutnya menjadi perdana menteri Lubnan," kata Hussein Khalil, penasihat politik utama kepada Pemimpin Hezbollah, Sayed Hassan Nasrallah.

Kenyataan Khalil dibuat meskipun terdapat desakan daripada Hezbollah bagi mewakili enam anggota parlimen bebas Sunnah dalam kerajaan, satu cadangan yang ditolak oleh Hariri yang percaya bahawa kesemua anggota parlimen bebas itu tidak mempunyai merit untuk representasi kerana mereka tidak tergolong dalam satu blok parlimen.

Sami Nader, pengarah Institut Levant bagi Hal Ehwal Strategik di Lubnan, memaklumkan Xinhua bahawa Hezbollah memerlukan Hariri sebagai perdana menteri dalam usaha melibatkan diri dengan barat.

"Barat tidak memboikot Hariri. Beliau masih menjadi interlokutor yang digemari oleh barat dan mempunyai hubungan yang baik dengan Arab Saudi," kata Nader.

Lubnan telah bergelut untuk membentuk kerajaan sejak Hariri dinamakan sebagai perdana menteri pada Mei 2018.

Pembentukan kerajaan itu berdepan pelbagai halangan dalam kalangan parti berhubung representasi dalam kerajaan baharu itu.

-- BERNAMA