PENGASAS bersama Apple, Steve Wozniak mendedahkan bahawa beliau telah menjual kesemua pegangan bitcoinnya.

Katanya, dia penat untuk memantau harga wang kripto itu yang terlalu pantas berubah sehingga 'menyusahkan' dirinya.

"Ketika harganya tinggi, saya beritahu diri saya, saya tak mahu jadi seperti mereka yang hanya melihat dan peduli sepenuhnya akan perubahan angkanya.

"Sebahagian daripada kebahagiaan, bagi diri saya, ialah apabila tiada kerisauan, jadi saya jual kesemuanya dan selesai!" katanya ketika menghadiri Forum Perniagaan Nordic di Stockholm.

Wozniak mula memiliki Bitcoin ketika harganya pada kadar 700 USD seunit.

Namun, minatnya ke atas wang kripto itu bagi tujuan membuat untung tidak berpanjangan memandangkan beliau lebih fokus kepada teknologi di sebalik Bitcoin itu sendiri.

Tumpuannya ialah bagi membolehkan pembayaran yang selamat ketika mengembara.

Sebelum ini, Wozniak menyifatkan wang kripto seperti Bitcoin merupakan platform terbaru, sama seperti kewujudan iPhone di awal kemunculannya.