Seorang pengarah syarikat kehilangan £9 bilion (RM50.4 bilion) hanya kerana tidak menghadiri mesyuarat tahunan pemegang saham.

Li Jehun adalah pengarah syarikat Hanergy Thin Film Power Group. Beliau adalah antara orang yang terkaya di China dengan anggaran jumlah kekayaan sekitar £19.6 bilion (RM109.9 bilion).

Ahli perniagaan berusia 48 tahun itu dilaporkan tidak dapat menghadiri mesyuarat tahunan pemegang saham syarikat kerana berada di Beijing bagi menghadiri pameran penggunaan tenaga bersih.

Akibatnya saham syarikat itu kehilangan 47 peratus nilainya di bursa saham Hong Kong semasa indeks dibuka pada Rabu lalu.

Li pula dikatakan menanggung kerugian sebanyak £9 bilion dari aset peribadi lantaran beliau merupakan pemegang saham terbesar bagi Hanergy.

Hanergy adalah syarikat multinasional yang mengkhusus kepada tenaga boleh diperbaharui.

Diasaskan pada 1994, Hanergy aktif dalam pengkhususan tenaga berasas solar, angin dan penjanaan kuasa hidro. Ia adalah syarikat panel kuasa solar terbesar di dunia.