CALON presiden Amerika Syarikat Parti Demokrat Hillary Clinton mendedahkan dinamik jantina ketika menjadi mahasiswi di universiti Ivy League, Harvard membuatkan beliau harus mengawal emosinya.

Dalam satu temubual bersama laman blog popular Humans of New York, Hillary berkongsi pengalaman yang sukar sebagai antara minoriti kaum wanita yang mengambil jurusan undang-undang.

Walaupun dilontarkan kata-kata yang kesat oleh pelajar lelaki, Hillary tidak mahu bertindak balas.

“Ketika sedang menunggu untuk peperiksaan, ada sekumpulan lelaki menjerit ‘Anda tidak perlu berada di sini’ dan ‘Ada banyak perkara lain yang boleh anda lakukan’,” katanya.

Oleh kerana lebih berminat untuk fokus kepada pelajaran dan peperiksaan, Hillary akur terpaksa bijak mengawal emosinya tanpa bertindak balas.



Hillary berkata beliau turut menyedari orang umum mempunyai persepsi tertentu tentang dirinya walaupun beliau dan rakan-rakan tidak menganggap dirinya sebagai dingin atau tidak mempunyai emosi.

"Saya tahu bahawa saya boleh dianggap sebagai dingin. Tetapi dari seorang gadis lagi, saya harus belajar untuk kawal emosi saya.

“Itu merupakan satu perjalanan yang sukar. Saya harus mempertahankan diri saya sendiri tanpa memencilkan diri.

“Saya mengambil tanggungjawab jika saya sendiri yang mencipta persepsi itu” katanya sebagai memetik berkata dalam blog itu.

Catatan itu menerima 653,000 Likes dan juga perkongsian sebanyak 170,327 kali setakat ini.

Hillary akan bersaing dengan jutawan hartanah, Donald Trump
untuk menduduki White House selepas pilihan raya diadakan, dijangka 7 November.

Beliau juga setakat ini menjadi wanita pertama mewakili sebuah parti besar dalam sejarah politik A.S.