Syarikat teknologi gergasi China Huawei Technologies Co Ltd telah memfailkan satu usul bagi mendapatkan penghakiman dalam satu tuntutan mahkamah terhadap kerajaan Amerika Syarikat (AS), bahawa sekatan yang dikenakan terhadap syarikat itu sebagai 'tidak berpelembagaan'.

Ini merupakan langkah terbaharu syarikat itu dalam menentang sekatan dari Washington yang dilihat sebagai sebahagian usaha AS untuk menyingkirkan syarikat itu daripada pasaran dunia.

Usul itu yang difailkan pada Selasa di Mahkamah Daerah Texas Timur menuntut agar Undang-Undang Pertahanan National Defense Authorization Act (NDAA) 2019 diisytihar sebagai ‘tidak berperlembagaan’.

NDAA diluluskan sebagai undang-undang oleh Kongres AS tahun lepas, sekaligus membolehkan sekatan dikenakan terhadap agensi persekutuan serta kontraktornya daripada menggunakan apa-apa peralatan Huawei atas alasan ‘demi keselamatan negara’.

Sehingga kini, Huawei menolak dakwaan bahawa syarikat itu dikawal oleh kerajaan China atau mana-mana agensi tentera dan perisikan milik negara itu.

Susulan keputusan itu, syarikat gergasi berkenaan berdepan sekatan lebih besar apabila Jabatan Perdagangan AS meletakkan syarikat itu dalam senarai hitam yang tidak membenarkan mana-mana syarikat AS untuk berurusniaga dengan Huawei.

Di sebalik pertikaian dalam industri teknologi ini, kedua-dua negara itu turut terlibat dalam perang dagang ketika ini.

Kata Ketua Pegawai Perundangan Huawei, Song Liuping, undang-undang itu adalah satu pelanggaran kepada proses sewajarnya kerana ia “secara langsung dan kekal membabitkan Huawei tanpa sebarang peluang untuk menafi atau membebaskan diri (dari dakwaan)."

Tambah beliau, “Ini adalah satu kezaliman."