Pihak berkuasa Turki hari ini mengarahkan penutupan kedutaan dan konsulat Belanda di negara itu susulan hubungan tegang kedua-dua negara yang semakin memuncak.

Menurut sumber Kementerian Luar negara itu, Turki turut menutup kediaman duta Belanda, wakil diplomatik dan ketua konsul ketika ketegangan antara rakan kongsi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu dilaporkan tegang.

Ia susulan tindakan kerajaan Belanda yang sebelum itu bertindak melarang Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu daripada terbang ke Rotterdam.

Sebelum itu juga , turut dilaporkan, Menteri Keluarga Turki, Fatma Betul Sayan Kaya telah dihalang oleh polis Belanda daripada memasuki konsulatnya di Rotterdam.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Belanda terpaksa menggunakan unit berkuda dan meriam air bagi meleraikan bantahan yang tercetus di bandar itu.


Sementara itu, presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat perbandingan tindakan Belanda menghalang lawatan Menteri Luarnya ke negara itu dengan Nazi.

Kenyataan dikeluarkan ketika ketegangan memuncak susulan perhimpunan di luar negara bagi membantu Ankara meraih sokongan negara luar berhubung proses pungutan suara.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu sepatutnya berada di Belanda untuk menghadiri satu perhimpunan bagi mendapatkan sokongan dalam pungutan suara mengukuhkan kuasa Erdogan.


Keputusan Belanda melarang Cavusoglu daripada melakukan kunjungan dan perhimpunan di Rotterdam dibuat selepas Jerman dan beberapa negara Eropah lain menghalang kempen yang sama.

Tidak seperti di Jerman, menyaksikan pihak berkuasa tempatan melarang siri perhimpunan, sebaliknya di Belanda, kerajaan sendiri campur tangan bagi menghalang kunjungan Cavusoglu.