PENYELIDIKAN terbaharu mendapati 66 peratus golongan belia di United Kingdom (UK) terus bergantung hidup dengan ibu bapa atau keluarga mereka terutama apabila melibatkan soal kewangan.

Berdasarkan kajian First Direct, 43 peratus daripada jumlah tersebut mengharapkan kewangan ibu bapa untuk menjelaskan hutang mereka.

Penyelidikan daripada bank berasaskan internet dan telefon di UK itu mendapati kebanyakan golonga belia percaya bahawa kekayaan yang diwarisi daripada ibu bapa mampu menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Tinjauan melibatkan 2,000 responden sekitar 18 hingga 32 tahun itu mendapati secara puratanya golongan belia percaya mereka akan mewarisi kekayaan ibu bapa mereka sekitar £80,000 (RM437,801).


Lebih mengejutkan, 19 peratus responden mengaku, amalan penjimatan bukan keutamaan bagi mereka kerana sumber kewangan yang stabil datang daripada ibu bapa.

Smentara, 20 peratus responden mengakui bahawa mereka bimbang dengan tabiat berbelanja ibu bapa mereka yang mampu menggugat belanjawan secara keseluruhan.

Menurut Ketua Produk First Direct, Nick Harrison, masalah kewangan merupakan faktor utama yang dihadapi oleh sebahagian besar golongan belia di UK.

Harrison berkata, faktor berkenaan wujud disebabkan tiga daripada empat golongan belia tidak menabung secara konsisten dan hanya satu daripada dua menyatakan mereka akan mula menabung dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Menabung walaupun hanya jumlah yang sedikit mampu memberi kesan yang besar terhadap kewangan pada masa hadapan yang lebih sejahtera.

“Mengutamakan penjimatan dan menabung secara konsisten adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi merancang kewangan pada masa depan, berbanding hanya berharap untuk mewarisi kewangan daripada ibu bapa,” jelas Harrison.

Penyelidikan berkenaan dijalankan berikutan laporan berita yang menjelaskan enam daripada 10 golongan belia di UK mendakwa mereka akan mengalami krisis golongan belia yang dikenali sebagai krisis suku usia atau quarter life crisis.

Salah satunya ialah golongan belia menghadapi masalah kewangan dengan lebih daripada separuh mengatakan mereka belanja bulanan mereka jauh lebih tinggi berbanding apa yang diperoleh dalam sebulan.